03
Nov
09

Hukum Jual Beli Lepas Azan Jumaat

بسم الله الرحمن الرحيم

Suasan Biasa Menjelang Solat Jumaat

Ini isu yang telah lama dan berulangkali diperjelaskan namun, bagi mereka yang sekadar tahu atau buat-buat tak tahu, renungkanlah apa hasil dan kesannya ke atas diri kita..

http://qhazanah.wordpress.com

BERJUAL BELI SELEPAS AZAN JUMAAT (Al Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman)

SUDAH menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang berkerjaya terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengah hari untuk makan serta menunaikan solat fardu Jumaat.  Namun, ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru, setiap urus niaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus.

Ia tidak termasuk di dalam perbincangan ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat Jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada lelaki, sama ada peniaga, pembeli atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh selain tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah Al-Jumaat ayat 9:

“Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah Subhanahu Wata’ala dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui,”.

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?
Walaupun sudah ijma’ di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua. (Bidayatul Mujtahid, 4/169: Tafsir Ibn Kathir, 4/368).

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Abu Bakar As-Siddiq Radiallahu Anhu dan Umar Al Khattab Radiallahu Anhu hanyalah sekali saja iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah.

Di zaman pemerintahan khalifah Uthman Radiallahu Anhu, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Hasil daripada kewujudan lebih daripada satu azan selepas zaman Uthman Radiallahu Anhu, ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya.

Mazhab Maliki dan Hambali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar. Ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat al-Quran, semasa hayat baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (Rujuk Al-Iqna’, Al-Khatib, 1/151: Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/39).

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan: “Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24).

Namun begitu, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka berpendapat pengharaman bermula sejak daripada azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari berkenaan (Syarh Fath Al-Qadir, 2/69).

Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut: “Ulama bersepakat berkenaan pengharaman jual beli selepas azan kedua (Tafsir Ibn Kathir, 4/367).

BERDOSA SAJA ATAU AKAD JUGA BATAL?

Walaupun berjual beli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas penjual dan pembeli namun adakah akad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan itu dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain.

Jika akad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperoleh oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli terhadap barangan beliannya.

Jika itu berlaku, bererti kedua-dua pihak menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh subahat dan bermasalah.

Dalam hal ini, ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya akad. Ulama terbahagi kepada dua kumpulan:

1- Akad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

2- Akad batal dan berdosa. Ia adalah pendapat mazhab Hambali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli sudah semuanya dipenuhi kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan saja. Atas kesalahan itu, dosa saja ditanggung tanpa pembatalan akad.

Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan di mana saja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan supaya dapat dinasihatkan kepada peniaga dan semua Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan terbabit. Kita bimbang, akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya berulang kali.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

1- Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

2- Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

3- Mengetahui berkenaan hukum haram itu dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap supaya khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar dan bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua.

Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid bagi menyedarkan mereka yang kurang faham dengannya.

Harap dengan membaca artikel ini, tidak lagi kita tergolong dalam golongan yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wata’ala dala urusan jual beli pada hari Jumaat ini. Sila salin dari * hingga * untuk sebaran link ringkas..

* APAKAH HUKUM JUAL BELI LEPAS AZAN JUMAAT..? Jemput ziarah;

http://qhazanah.wordpress.com/2009/11/03/hukum-jual-beli-lepas-azan-jumaat/  *

Jika anda dapati artikel ini bermanfaat, sila undi Qhazanah dengan klik;

Topblogs @ iLuvislam

Juga, sudi-sudilah beri komen membina di bawah yea.. Syukran jazilan, wassalam..


7 Responses to “Hukum Jual Beli Lepas Azan Jumaat”


  1. 1 latif hilmi
    Disember 3, 2009 at 1:25 pm

    macamana dgn pengusaha stesyen minyak serta pekerjanya.stesyen minyak tidak dibenarkan berhenti beroperasi walaupun masuk waktu solat jumaat dan ia dimiliki oleh org islam. dan didapati byk setesyen minyak tidak mengendahkan waktu solat jumaat. adakah ia menjadi tanggungjawab pihak pekerja or majikan? majikan terikat dgn syarat2 syarikat pengeluar minyak.tapi kalau nak seribu daya. x nak seribu dalih … ye tak.. tapi saya kesian dgn kawan2 saya. pemilik dan pekerja… takut mereka dapat duit haram plak… macamana yea…??..

    • Disember 3, 2009 at 5:02 pm

      Salamun’alaik..

      Apa yang ada pada Islam mengenai hukum jual beli ini adalah bertujuan untuk mendidik kita sebagai pengguna yakni pembeli dan juga pengusaha yakni penjual.

      Perihal urusan jual beli sewajibnya dijunjung dan dihormati sepertimana yang diperintahkan di dalam Al Quran.

      Disebabkan memberi alasan urusniaga perlu dijalankan kerana ada pembeli, maka atas dasar itulah juga tanggungjawab yang diperintahkan ke atas umat Islam sengaja diabaikan.

      Pengusaha yang sengaja mengakibatkan para pekerjanya terhalang daripada menunaikan ibadah sedangkan ada rukhsah (kelonggaran) untuk terus menunaikannya maka dikhuatiri urusniaganya tidak dipandang dan tidak diterima Allah..

      Mungkin akhi Latif belum biasa lagi ke daerah yangmana hari Jumaat adalah hari cuti atau ke negara-negara yang tegas dalam perihal menguatkuasakan perintah Islam..

      Jika akhi pernah berada di daerah ini, para peniaga tidak berniaga pada menjelang solat wajib serta Jumaat dan akibatnya pembeli akan mengatur masa yang sesuai untuk aktiviti pembelian kerana mengetahui waktu umat Islam beribadah.

      Lihat.. Bagaimana hukum Islam mendidik kita dengan lebih baik..? Pesanlah pada para sahabat yang sebagai pembeli, pengusaha, pekerja dan yang berkaitan dengannya yakni, dahulukanlah Allah dalam urusan kehidupan..

      InsyaAllah, kita pasti didahulukan dalam urusan akhirat dengan ehsanNya..

      Wallahu’alam..

  2. 3 latif hilmi
    Disember 3, 2009 at 5:24 pm

    waa’laikum salam ya akhi. terima kasih atas jawapannya…stesyen minyak sekitar selangor je.saya dulu penah keje dgn dia orang, saya berenti sbb susah nak solat jumaat.alhamdulillah sekarang rezeki saya berlipat2 lebihnya dari dulu. bab2 solat ni majikan saya mmg no 1. masuk ofis wajib solat dhuha dulu. walaupun dia dulu lama keja di jepun..alhamdulillah.. nanti saya akan segera beritahu ke kawan2 saya.. sebab yg pastinya rezeki yang mereka terima kurang berkah..dah gaji kecil.. kurang berkah plak tu mmmph…

    • Disember 4, 2009 at 1:30 am

      Alhamdulillah.. Tahniah akhi Latif..

      Apa yg akhi Latif lalui merupakan sebagai satu bukti bahawa rezeki bukan ditetapkan oleh manusia..
      Akan tetapi Allah jualah yg menentukannya… Mungkin akhi pernah dengar akan hadith berikut..

      “Barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, Allah akan mencukupkan baginya segala keperluannya; namun barangsiapa yang mencari marah Allah dengan redha manusia, maka Allah akan menyerahkan untung nasibnya kepada manusia..”

      Biasa dengar..?

      Wallahua’lam..

  3. Februari 4, 2013 at 6:03 pm

    mcmana kita kereta kita kehabisan minyak.. adakah tak boleh membeli jugak?

    • Februari 6, 2013 at 12:14 pm

      Assalamu’alaikum..

      Jika kehabisan minyak dalam keadaan musafir, atau dalam perjalanan menuju ke masjid maka tiada masalah. Yang dilarang adalah menghidupkan jual beli sehingga menafikan keutamaan Jumaat..


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


Undi Qhazanah : Syukran..!

Topblogs @ iLuvislam

Dan Qhazanah Pun Berlalu

Memperkenal dan memperjuangkan program Memartabatkan Amalan Pemakanan Sunnah [MAPS] dan Semarak Mencintai Sunnah [SMS] sejak hampir 10 tahun yang lalu.

Kini dengan produk Qhazanah gabungan 10 gabungan makanan sunnah, melalui MAPS, SMS mula disemai dalam kembali mengenali sunnah dan tuntutannya ke atas kita umat baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pada hari ini.

Terima kasih kepada teman seperjuangan Al Ustaz Zamri sebagai Duta MiM.

Terima kasih juga atas sokongan dan doa kalian yang tak putus kunjung selama ini..

Hits Ziarah Qhazanah

  • 239,089 Pengunjung

Dari Serata Dunia

free counters

Mutiara Qhazanah

Jemput Berjemaah

Ahlan Wa Sahlan Ya Khaira Ummati

November 2009
J S A I S R K
« Okt   Dis »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Peti Qhazanah


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 26 other followers

%d bloggers like this: